KEBENARAN rentas negeri bagi pasangan jarak jauh akan diberikan pada fasa kedua pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu apabila negara mencatatkan kes harian Covid-19 bawah 4,000 kes.
Bagaimanapun kebenaran hanya diberikan bagi kes kecemasan dan kebenaran khas yang diluluskan polis.
Kedai buku dan alat tulis serta premis menjual komputer dan telekomunikasi juga akan dibenarkan pada fasa itu.
Perkara itu terkandung dalam perincian prosedur operasi standard (SOP) dan jadual pembukaan sektor ekonomi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dari Fasa 1 hingga 4 diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Perinciannya seperti berikut:
Fasa 2
- Sektor Pembuatan- Automotif (kenderaan dan komponen) serta seramik kilang perabot bagi tujuan eksport getah, besi dan keluli simen
- Sektor Perdagangan dan Pengedaran-Kedai buku dan alat tulis; komputer dan telekomunikasi; barangan eletrik; kedai cuci kereta serta kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)
- Pergerakan rentas daerah dan negeri hanya dibenarkan bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan
- Pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan PDRM
- Pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari jam 7 hingga 11 pagi dan terhad kepada 6 komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging
- Pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka
- Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan
Fasa 3
- Semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif seperti spa, pedicure dan manicure, pub serta kelab malam
- Pergerakan rentas daerah dibenarkan manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan
- Makan restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal
- Pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing termasuk kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada tiga orang termasuk pemandu
- pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu dibenarkan beroperasi mengikut SOP semasa
- Salun kecantikan dibenarkan beroperasi
- Sektor pendidikan dibenarkan beroperasi
- Kelonggaran untuk menerima tetamu dan pelawat di rumah yang terhad kepada 10 orang sahaja dalam satu-satu masa
- Aktiviti pelancongan negeri dibenarkan
- Industri kreatif dibenarkan sebagai contoh acara langsung tanpa penonton
Fasa 4
Semua sektor dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP- Malaysiapost

