SIDANG Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan pemantauan memantau kilang dan premis melanggar prosedur operasi standard (SOP) kini dijalankan pasukan petugas pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mengikut perancangan tugas berkenaan sepatutnya dilaksanakan pasukan petugas baharu diwujudkan yang diselaraskan MKN.
“Bagaimanapun memandangkan sudah wujud pasukan pematuhan diketuai polis yang menjalankan tugas hampir serupa untuk memantau SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan maka sidang khas MKN berpandangan tidak perlu diwujudkan pasukan khas lagi.
“Cukup pasukan petugas pematuhan PDRM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menjelaskan sekali lagi peranan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelas beliau, operasi itu terbahagi kepada dua iaitu pasukan petugas kebangsaan diketuai oleh ATM menerusi Ops BENTENG yang melibatkan kawalan sempadan negara bersama-sama 11 agensi lain antaranya PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
“Pasukan petugas Pematuhan pula diketuai PDRM dibantu ATM, APM, RELA, PBT dan lain-lain bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP sama ada melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) atau pemeriksaan di tempat-tempat awam.
“Kedua-dua Task Force ini telah diwujudkan sejak PKP 1.0 lagi. Setelah PKP 3.0 dilaksanakan, Task Force Operasi Pematuhan PDRM diperluaskan kepada pemeriksaan terhadap kilang-kilang yang melanggar arahan dan SOP, ” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak faham pembahagian tugas dan gerak kerja melibatkan ATM dan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.-Malaysiapost

