KERAJAAN tidak pernah gagal sebaliknya naratif itu diwujudkan individu tertentu demi agenda peribadi, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Keterah itu berkata, kerajaan hari ini hakikatnya adalah sebuah kerajaan yang cukup berjaya dan ia dibuktikan dengan angka dan fakta termasuk pengiktirafan luar.
Beliau berkata, malah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan hari ini adalah kerajaan terbaik di kalangan parti Melayu dan Islam yang ada hari ini.
“Kita tidak gagal tetapi kita dimomokkan pihak tertentu kerana hendak bermain politik dan ia tidak sihat.
“Malah, kita juga tidak mampu untuk gagal kerana kalau kita gagal ia memberi reaksi yang buruk kepada politik orang Melayu dan Islam itu sendiri,” katanya dalam program Bicara Harakah secara maya, malam tadi.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau tahu siapa dalang yang menyemai naratif ‘kerajaan gagal’ itu serta tujuan mereka melakukan demikian.
“(Isu) Kerajaan gagal diwujudkan oleh beberapa individu tertentu bermula September tahun lalu iaitu menjelang Belanjawan. Tujuannya untuk menghakis kepercayaan kepada kerajaan sebagai satu strategi politik,” katanya.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, individu berkenaan cuba mengambil kesempatan daripada kesempitan kerajaan yang sedang dihimpit pandemik Covid-19.
“Kalau gagal itu siapa? sebahagian besar dalam kerajaan adalah Menteri-menteru Umno termasuk yang menjaga urusan vaksin, keselamatan, kesihatan… semua ini Menteri Umno.
“Jadi kalau dok hayun cakap kerajaan gagal, jadi siapa yang gagal, ludah ke langit jatuh ke muka kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, Tabung Kewangan Dunia (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia kembali pulih dan berkembang pada kadar 6.5 peratus tahun ini dan ia bukti kejayaan kerajaan.
“Jika kerajaan ini gagal mana mungkin IMF mengiktiraf kita. Orang lain mengatakan kita berjaya, kita sesama kita dok (yang) kata kita gagal,” katanya.
Selain itu, Annuar berkata, dakwaan kerajaan gagal dalam membendung pandemik juga tidak sepatutnya dibangkitkan kerana semua pihak termasuk pembangkang turut terbabit dalam hal pengurusan Covid-19.
“Jadi kenapa tuduh kerajaan PN gagal sedangkan pengurusan Covid-19 itu diwakili oleh semua pihak termasuk PKR dan DAP. Ia diuruskan secara bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang datang dari semua parti.
“Justeru, adalah lebih baik kita tumpukan masa dan saling sokong menyokong daripada lemah-melemahkan. Jangan kerana agenda kecil yang bersifat peribadi kita lupakan agenda yang lebih besar,” katanya.
Mengulas mengenai bila Malaysia akan pulih daripada wabak ini, Annuar berkata, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan baru-baru ini adalah jawapannnya.
“Pelan inilah yang ‘to win the war’. Kita mungkin belum menang dalam peperangan ini tetapi kita tidak pernah dikalahkan. Malah dalam tempoh pandemik kita berjaya memberi bantuan demi bantuan termasuk tunai mencecah RM16.7 bilion.
“Justeru, pada saya kerajaan gagal itu mungkin datang daripada orang yang cuba hendak mengagalkan kerajaan. Bila kerajaan gagal maka mereka boleh menjadi orang yang berjaya.
“Sebaliknya jika kita berjaya mereka akan jadi orang yang gagal dan pernah gagal. InsyaAllah, kita akan berjaya,” katanya. – Malaysiapost

