Malaysia pilih pelabur berkualiti – Azmin Ali

0
1

KERAJAAN kini memperkenalkan dasar pelaburan negara yang baharu dengan lebih menggalakkan kemasukan pelaburan ke Malaysia secara lebih selektif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata dasar pelaburan baharu itu diperkenalkan bagi mencapai negara berpendapatan tinggi dan menarik lebih ramai pelabur berkualiti dalam tempoh dan pasca pandemik Covid-19.

Beliau berkata, selepas perbincangan dan libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Mac lalu, keputusan dibuat inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dasar pelaburan secara selektif.

“Tujuannya adalah untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi agar negara kita boleh bersedia dengan tenaga kerja yang memenuhi permintaan industri dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Bertepatan dengan aspirasi Dasar Pelaburan Negara (NIA), yang mana akan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, terutamanya pada pasca Covid-19 dan yang seterusnya akan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Menurutnya, dalam masa sama, Bank Dunia turut mengunjurkan Malaysia dijangka mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini dapat dibuktikan dengan kemasukan pelaburan berteknologi canggih dan berkualiti tinggi, iaitu SK Nexilis dengan jumlah pelaburan bernilai RM4.24 bilion (Sabah) dan AT&S berjumlah RM8.5 bilion (Kedah).

“SK Nexilis akan menghasilkan kerajang tembaga untuk kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan teknologi terkini manakala syarikat AT&S pula akan mengeluarkan high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates, yang mana masing-masing akan mencipta 5,000 peluang pekerjaan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat komited dalam membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat, terutamanya pada pasca Covid-19, namun bagi merealisasikannya memerlukan ketekunan dan keterbukaan untuk mencapai pertumbuhan inklusif dan mampan.

“Saya berharap dengan adanya dasar baharu ini akan kekal menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here