Langkawi, Kuching jadi lokasi rintis Program Destinasi Bebas Covid-19

0
1

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyediakan satu kerangka holistik berhubung Pelan Pemulihan Pelancongan termasuk menjadikan Pulau Langkawi dan Kuching sebagai destinasi rintis bagi Program Destinasi Bebas Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pelan itu selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Beliau berkata, MOTAC sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam menetapkan sasaran untuk mencapai sebanyak 80 peratus populasi divaksinasi bagi membentuk imuniti kelompok negara.

Menurutnya, dalam Pelan Pemulihan Pelancongan tersebut, MOTAC telah menggariskan tiga fasa bagi membantu pihak kerajaan untuk mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara dan seterusnya dapat menjayakan Program Destinasi Bebas Covid-19.

Katanya, bagi fasa pertama perbincangan telah dibuat bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bersetuju menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis bagi Program Destinasi Bebas Covid-19

“Kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Langkawi serta menjadikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Tambahan mulai pertengahan bulan Julai 2021.

“Selain Langkawi, destinasi turut dicadang untuk dilaksanakan ialah di Kuching, Sarawak yang bertepatan dengan lokasinya yang terkenal dengan kemasukan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.

“Malahan, MOTAC juga telah menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha untuk mengangkat Bandar Raya Kuching sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat UNESCO dan ASEAN di bawah kategori Gastronomi pada masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fasa kedua pula membabitkan penyelarasan dan memperluaskan bantuan ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan juga pulau-pulau yang lain.

“Perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah yang berkaitan terutama melibatkan elemen promosi serta usaha meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada penduduk setempat di pulau-pulau tersebut.

“Berdasarkan perbincangan tersebut, Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah disarankan untuk mengemukakan perancangan serta permohonan mengenai keperluan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak MOTAC,” katanya.

Menurutnya, fasa ketiga adalah sesi libat urus antara MOTAC dengan semua Kerajaan Negeri berhubung penentuan destinasi pelancongan utama yang menjadi tarikan pelancong untuk diketengahkan sebagai lokasi yang akan diberikan perhatian.

“Selain itu, kerjasama juga adalah termasuk penggunaan fasiliti bersesuaian yang dapat digemblengkan untuk dijadikan pusat PPV,” katanya.

Nancy berkata, MOTAC juga telah mengambil inisiatif dengan kerjasama MOSTI serta Persatuan Pemuzik dan Buskers untuk Persembahan Pemuzik/Buskers di PPV Awam yang akan dilaksanakan mulai 8 Julai sehingga 31 Disember 2021 bermula di dua buah PPV Mega iaitu; Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan World Trade Centre (WTC).

“Pelan Pemulihan Pelancongan serta inisiatif yang diambil oleh MOTAC ini boleh menjadi pemangkin buat industri pelancongan dan budaya untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here