PEMILIK syarikat bergelar Datuk dan seorang adiknya, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas 52 pertuduhan mengemuka tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat peruncit, berjumlah lebih RM1.57 juta dua tahun lalu.
Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 42, yang memiliki syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi dan adiknya, Mohd Fadhil, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd Farid didakwa memberikan suatu dokumen, iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu, bagi tempoh di antara Januari 2019 hingga Mac 2020 di pejabat bahagian Subsidi dan Bekalan, Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Putrajaya.
Tuntutan itu dibuat kepada tiga orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang tertuduh tahu, penjualan minyak masak itu sebenarnya tidak dibuat yang semuanya bernilai RM1.57 juta.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM.
Dalam prosiding sama, Mohd Farid mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan, iaitu memalsukan invois dan dokumen penghantaran yang terkandung dalam Penyata Tuntutan Bayaran Kewangan kepada kilang sama dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Mohd Farid turut didakwa atas tuduhan menerima wang berjumlah RM192,433 daripada akaun Hong Leong Bank milik KPDNHEP yang juga hasil daripada aktiviti haram, ke akaun Bank Islam milik Syarikat Temasek Growth Sdn Bhd yang dia ialah pengawal akaun syarikat itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Menara Bank Islam Kuala Lumpur diantara 19 Mac hingga 19 Oktober 2019.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntuk penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohd Fadhil pula didakwa atas 52 pertuduhan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama, di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.
Mohd Fadhil juga turut mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan, iaitu bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan memalsukan dokumen sama, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 107 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Maziah Mohaide di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshvinder Singh.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM150,000 dan RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

