Menjelang tamat darurat, harga SD semakin mahal – Puad Zarkashi

0
1
KUALA LUMPUR 09 June 2015. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Sidang Media menegnai isu 1MDB di Menara MARA. NSTP/Salhani Ibrahim

KERAJAAN yang terbentuk hari ini bukan yang didokong parti, sebaliknya disokong oleh Ahli Parlimen bagi mendapatkan majoriti melalui Akuan Bersumpah (SD), kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan wujudnya ‘budaya SD’ dan ‘kluster katak’ sekali gus menjadikan ‘harga’ seseorang Ahli Parlimen kini semakin mahal.

Menurutnya, kini Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang merasakan keputusan di tangan mereka menentukan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh kekal selepas 1 Ogos ini.

“Betulkah harga Ahli Parlimen semakin mahal? Kononnya mereka jual mahal. Keputusan parti sering ditolak tepi.

“Setiap SD yang mereka tandatangan ada harganya dan untungnya. Kenapa ini berlaku?

“Ia menjadi-jadi sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang ekoran ‘langkah Sheraton’. Timbul budaya SD. Semua parti mengejar SD,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kewujudan kluster katak juga menjadikan harga seorang Ahli Parlimen menjadi mahal, kerana semua yang ‘melompat’ mendapat jawatan menteri.

“Apatah lagi apabila terbentuknya kerajaan PN. Ia adalah kerajaan dokongan ahli Parlimen bukan parti. Umno paling terkesan.

“Ahli Parlimen Umno nampak macam tidak takut atau rasa terikat dengan keputusan parti, Barisan Nasional (BN) dan Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC),” katanya.

Menurutnya, apabila timbul cerita kerajaan hari ini tiada majoriti, sudah tentu SD daripada mana-mana Ahli Parlimen kini semakin penting dan mahal.

“Sebab itu tidak hairan apabila Nazri (Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) mengaku secara terbuka dia adalah dalang kepada SD 25 Ahli Parlimen yang sokong Hishamuddin (Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein).

“Tetapi jangan lupa. Harga mereka seperti bursa saham. Boleh jatuh menjunam bila tidak lagi dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kita tunggu Parlimen bersidang. Apakah harga mereka melambung mahal. Soft reminder, ‘jangan jual mahal sangat’,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran terbaharu beliau berpendapat sepanjang pemerintahan PH dan PN, tiga tahun masa terbuang kerana kedua-duanya lambat bertindak demi rakyat.

“PH 22 bulan, PN 15 bulan. Sama sahaja. Semoga Malaysia terhindar sebagai negara lambat. Lambat pulih. Lambat beli vaksin. Lambat bagi komputer. Lambat buka Parlimen. Lambat respond kehendak rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here