Zahid kekal Presiden Umno sehingga 2023?

0
2

Aiman Hanif

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan terus kekal menerajui parti sehingga tahun 2023 selepas Majlis Tertinggi (MT) mencapai resolusi bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata resolusi itu dicapai melalui satu pungutan pandangan secara dalam talian.

Beliau berkata, majoriti ahli MT Umno bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung bulan ini.

Tajuddin berkata, Umno telah mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung pemilihan Umno.

“Semua setuju tangguh pemilihan,” katanya kepada Malaysiapost.

“Kita telah mendapat nasihat daripada MKN, RoS. Memandangkan keadaan Covid-19 apa semua ini, (mereka) setujulah ditangguhkan,” kata Tajuddin lagi.

Isu pemilihan Umno menjadi polemik apabila ada dala m kalangan pemimpin parti itu mahu ia disegerakan diadakan.

Desakan itu muncul selepas segelintir pemimpin Umno tidak setuju dengan jajaran politik baharu yang dibawa Ahmad Zahid.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pemilihan parti itu selepas tempoh kepimpinan yang ada kini akan berakhir 30 Jun ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim antara yang lantang mendesak agar pemilihan parti itu disegerakan.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata jika Umno ingin meneruskan pemilihan parti itu, ia perlu dibuat secara dalam talian.

Disebabkan itu, barisan kepimpinan Umno bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.

“Kalau hendak buat juga pemilihan, kena buat secara dalam talian.

“Jadi selepas penangguhan selama 18 bulan, pemilihan Umno dijangka akan diadakan awal 2023,” katanya lagi.

Untuk rekod perlembagaan Umno membenarkan pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here