BAGI insan berkemampuan, pucuk tumbuhan atau sayur-sayuran di tepi jalan mungkin kelihatan biasa sahaja namun tidak bagi seorang ibu dan anak perempuannya di Ipoh, Perak.
Bagi R Suganthi, 53, dan S. Kyiran, 33, itulah untuk mengalas perut yang lapar memandangkan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.
Suganthi sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa berhenti kerja sejak dua tahun lalu disebabkan masalah kencing manis dan tulang rawan tergelincir.
Sementara itu, anak perempuannya pula hilang ingatan disebabkan satu kemalangan, kedua-duanya menumpang di sebuah flat milik rakannya sejak Januari lalu.
Suganthi berkata, disebabkan tiada sumber pendapatan mereka terpaksa mencatu makanan dengan makan bubur nasi, biskut kering dan kopi o.
“Kami hanya makan sekali saja sehari, itu pun buat bubur nasi dengan beras yang diberi rakan dan jika lapar pada waktu malam, kami alas perut dengan minum kopi o.
“Pernah juga saya mengutip apa-apa tumbuhan yang boleh dimakan di tepi jalan untuk dijadikan lauk,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Suganthi berkata, sebagai ibu dia sedih sekiranya tidak mampu menyediakan makanan untuk anaknya yang juga menghidap masalah tulang belakang.
“Saya tidak makan pun tidak mengapa, asalkan perut anak terisi. Sepanjang dua minggu terputus bekalan makanan, kami hanya makan apa yang ada.
“Sebab itu, saya mohon bantuan. Saya harap ada pihak sudi membantu dan sekiranya boleh, saya juga ingin bekerja kembali bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Tambahnya, dia dan anaknya juga kini hanya mengambil ubat tahan sakit disebabkan tidak mampu mendapatkan rawatan di klinik dan hospital.
“Kami juga berharap untuk mendapat bantuan rumah kerana tidak tahu berapa lama lagi boleh menumpang di sini,” katanya. – Malaysiapost

