BERSATU yang menerajui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggesa semua parti politik berhenti bertelagah
dan mengenepikan kepentingan diri sebaliknya menjaga kebajikan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau menyambut baik kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri mewakili ahli-ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong Pelan Pemulihan Negara.
“Ia membuka ruang untuk kerajaan meneruskan tumpuan kepada usaha menjaga nasib rakyat dan membina ekonomi negara.
“Jadi sekarang bukan masanya untuk bertelagah. Rakyat sudah muak dengan orang politik yang memikirkan diri sendiri tatkala rakyat merayu dibantu. Rakyat sedang susah,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, kerajaan memerlukan kesatuan dan kestabilan untuk membolehkan segala perancangan kerajaan dilaksanakan dengan teratur serta teliti.
“Tumpuan kita jangan terpesong di waktu yang penting ini. Kita melihat betapa kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha keras memberikan pelbagai bentuk bantuan dan pertolongan kepada semua lapisan rakyat.
“Usaha-usaha inilah yang patut diteruskan dan mesti disokong. Kita mesti penuhi keperluan rakyat dan hentikan perdebatan politik yang tidak membawa faedah kepada rakyat,” katanya. -Malaysiapost

