MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membuat laporan polis berhubung isu penularan surat sokongan yang mendakwa dirinya mendapat sokongan Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden Umno itu menegaskan surat sokongan terbabit adalah palsu dan laporan polis dibuat bagi mengenalpasti dalang yang menyebarkannya.
“Seperti dinyatakan Unit Komunikasi saya semalam, surat ini adalah palsu dan tidak benar.
“Satu laporan polis akan dibuat hari ini supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenalpasti dalang di sebalik tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, pasukan komunikasi Hishammuddin dalam satu ciapan di Twitter menafikan surat tersebut dan menyatakan ia adalah palsu serta hanyalah provokasi politik yang berniat jahat untuk mengelirukan umum.
Antara intipati surat tersebut menyatakan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mencalonkannya sebagai Perdana Menteri selain senarai jemaah menteri daripada Umno, Bersatu, MCA, Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut disertakan.
Dalam surat bertarikh 22 Jun itu, nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bahagian Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri II.
Isu mengenai sokongan terhadap Hishamuddin menjadi Perdana Menteri mula hangat apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dikatakan mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan terhadap Hishammuddin.
Mohamed Nazri bagaimanapun kemudian menafikan ia adalah SD, sebaliknya surat pengakuan pemberian mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

