MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan RM303 juta bermula Januari hingga Mei tahun ini kepada asnaf melalui agihan langsung dan tidak langsung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sejumlah RM732.55 juta pula diagihkan sepanjang tahun 2020 bagi tujuan sama.
“Ia meliputi 30 skim bantuan, inisiatif-inisiatif menarik seperti bantuan perniagaan (Musa’adah Tijariyyah), bantuan zakat kecemasan, termasuk perbelanjaan pengurusan, prasarana dan fasiliti untuk asnaf,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dr Zulkifli berkata, beberapa pembaharuan dapat dilihat dalam agihan bantuan asnaf iaitu:
- Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) yang boleh digunakan untuk melaporkan asnaf di sekeliling anda. Ia turut dilengkapi teknologi GPS yang memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP segera turun ke lokasi dilaporkan.
- Permohonan bantuan zakat dalam talian melalui portal ebaitulmal.maiwp.gov.my.
- Projek MAIWP Foodtruck yang sedang disiapkan dan bakal memberi manfaat juadah makanan percuma kepada 750 orang asnaf dan mereka yang memerlukan setiap hari (lima hari seminggu).
- Projek Kedai Makan Usahawan MAIWP yang bakal melibatkan tiga kedai milik usahawan asnaf MAIWP yang bakal memberi manfaat juadah makanan percuma kepada 300 orang asnaf dan mereka yang memerlukan setiap hari (lima hari seminggu).
- Projek Foodrider MAIWP yang bakal melibatkan 10 orang kakitangan MAIWP yang akan ditugaskan untuk menghantar Kit Bantuan Makanan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, beliau dan dan timbalannya akan sentiasa memastikan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawabnya dapat memberi khidmat terbaik demi manfaat rakyat terutama dalam tempoh pandemik ini. – Malaysiapost

