Nurul Huda Abhar
ORANG ramai digesa memberi maklum balas segera kepada pihak bank untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, tindakan itu penting bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium bagi mengelak rekod kredit menjadi buruk selepas September.
“Saya bimbang sekiranya orang ramai dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon bantuan bayaran balik pembiayaan daripada bank.
“Orang ramai dan PKS harus ingat bahawa bank memerlukan masa untuk memproses permohonan bantuan bayaran balik pembiayaan yang dikemukakan.
“Secara umumnya 1 hingga 5 hari untuk pelanggan individu dan 3 hari hingga dua minggu untuk permohonan PKS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mohd Shahar, setakat 21 Ogos 2020 pihak bank telah menghubungi 1,015,848 peminjam merangkumi 908,773 individu, 94,685 PKS dan 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan.
Tambahnya, tarikh moratorium secara automatik berbaki 29 hari dan sepanjang tempoh dua minggu bermula 7 Ogos, pihak bank telah menerima 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu dan sebanyak 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.
Kerajaan, katanya, telah mengeluarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan merangkumi pengurangan ansuran pembiayaan sekurang-kurangnya enam bulan dan pembayaran faedah untuk suatu jangka masa ditetapkan bagi pelanggan individu dan PKS yang turut terkesan akibat Covid-19.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam,” ujarnya. -Malaysiapost

