Pemandu Camry direman empat hari

0
2

PEMANDU kereta Toyota Camry yang terbabit dalam kes langgar lari membabitkan sebuah motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Karak berdekatan Bentong, semalam direman empat hari mulai hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata suspek yang juga peniaga berusia 37 tahun itu ditahan di Balai Gombak kira-kira jam 7 petang, semalam.

“Perintah tahanan reman ke atas pemandu dikeluarkan Majistres Bentong selama empat hari bermula hari ini akan dilaksanakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif,” katanya seperti dilapor Awani.

Kamarulzaman berkata, polis juga telah mengesan saksi awam dan kini dalam proses untuk hadir bagi membantu siasatan.

“Kita juga sudah dapat kesan (saksi) dan dalam proses untuk hadir bantu siasatan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, tular dalam media sosial sebuah kereta Toyota Camry berwarna putih yang didakwa melarikan diri selepas menyebabkan kemalangan di laluan kecemasan lebuh raya Karak. -Malaysiapost