CADANGAN penjualan atau pajakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS Subang) kepada sebuah syarikat swasta bertentangan dengan kepentingan nasional.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau sangat dukacita dan kesal jika perkara itu berlaku kerana LTSAAS Subang adalah aset strategik yang sangat bernilai.
“Ia milikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang rakyat jelata ada kepentingan terus melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
“Justeru, cadangan penjualan atau pajakan kepada satu syarikat swasta kepunyaan beberapa individu yang kaya raya adalah bertentangan dengan kepentingan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ramai yang lupa LTSAAS Subang adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya besar lain seperti Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.
“Kita telah lama kehilangan lapangan terbang Sungai Besi yang sangat strategik,” katanya.
Beliau berkata, jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi.
Katanya atas kepentingan strategik tersebutlah ia harus kekal menjadi aset milikan kerajaan.
“Jadi, apa jua cadangan yang diterima kerajaan, wajar disertai dengan ketelusan. Jelaskan dengan terperinci dan terus terang rancangan mereka kerana rakyat berhak tahu. Rakyat adalah pemegang taruh LTAAS Subang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan diminta jangan mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTAAS Subang oleh syarikat swasta.
“Apalagi bila ia lebih beroreintasi pembangunan hartanah. Rencana korporat setiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Lapangan terbang Senai di Johor terlepas dari pegangan MAHB dalam tahun 2003 dengan janji bahawa ia akan memberi persaingan hebat kepada Changi, Singapura.
“Bagaimanapun, selepas 17 tahun, Senai terus jauh ketinggalan dari Changi dari semua segi,” katanya.
Katanya lagi, beliau difahamkan satu taklimat kepada Perdana Menteri oleh Malaysia Airports telah dibuat.
“Plan “Subang Airport Regeneration” oleh MAHB sangat wajar dipertimbangkan demi kepentingan nasional dan keselamatan negara,” katanya.
Mohamad berkata, beliau mengerti kegusaran pihak Kesatuan Sekerja lapangan terbang terbabit kerana ia bukan sahaja melibatkan masa depan mereka, malah negara.
Sehubungan itu, kaatanya, kerajaan wajar untuk tidak mempertimbangkan cadangan pajakan atau penjualan aset nasional tersebut kerana ia bukan keutamaan dalam saat negara dilanda pandemik dan kemelesetan sangat ketara.
Isu pengambilalihan LTSAAS mula menarik perhatian apabila syarikat pembangunan hartanah, WCT Holdings Bhd yang memiliki Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) dilapor mahu mengambil alih lapangan terbang itu. – Malaysiapost

