Penjaga gajah mati diserang ketika kerja pembersihan

0
1

SEORANG penjaga gajah warga Thailand maut dipercayai diserang haiwan itu ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir, di Kuala Berang, Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, Anucha Tangsakun, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada perut selepas terkena gading ketika mahu membuka ikatan gajah berkenaan, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengawal keselamatan yang bertugas memaklumkan seorang pekerja diserang gajah ketika mahu melakukan rutin pembersihan dan memberi makan.

Beliau berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, mangsa didapati sudah terbaring dan tidak bernyawa di kawasan lapang tempat gajah diikat.

“Pemeriksaan lanjut menemui kesan terbelah di perut dan luka pada paha mangsa dan pihak pengurusan memaklumkan emosi gajah yang berusia 22 tahun itu tidak stabil kerana sering diganggu gajah liar berhampiran.

“Dalam kejadian ini, gajah itu turut cedera pada belalai akibat diserang seekor gajah liar jantan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat dan saringan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here