Moratorium menyeluruh hingga capai imuniti kelompok – PEJUANG

0
1
Peniaga kecil

Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) hari ini, mendesak kerajaan meluluskan kemudahan moratorium pinjaman secara menyeluruh dan sewa dengan kadar segera.

Parti itu dalam kenyataan meminta moratorium menyeluruh dilanjutkan sehingga imuniti kelompok dicapai bagi mengelak lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup, ramai rakyat muflis atau dalam situasi terdesak sehingga membunuh diri.

Menurut kenyataan itu, ramai rakyat dan perniagaan dinafikan moratorium bersasar kerana mereka perlu memohon dengan menyediakan pelbagai maklumat, dokumen dan bukti.

“Kami memandang serius kenyataan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin melaporkan majoriti peniaga sektor peruncitan di negara ini terutama peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’ selepas kerajaan melaksanakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

“Kami mengambil maklum dan menyokong penuh permintaan Gabungan 140 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan supaya moratorium ini ditawarkan secara automatik untuk semua fasiliti bank (individu dan syarikat termasuk kad kredit, overdraf, pinjaman kereta, pinjaman rumah dan lain-lain), fasiliti kredit dan pajakan,” kata kenyataan berkenaan.

PEJUANG berkata, pihaknya amat bimbang dengan situasi kritikal peniaga mikro, industri kecil dan sederhana (IKS) yang ‘sudah hampir mati’ dan berpendapat bantuan moratorium menyeluruh adalah bantuan yang sangat diperlukan ketika ini.

“Kami amat faham tekanan emosi yang dialami oleh seorang wanita yang kehilangan pekerjaan, dihalau keluar dari rumah sewa dan cuba untuk membunuh diri dan percaya ramai yang berada dalam situasi seperti wanita itu dan bimbang cubaan membunuh diri akan lebih berleluasa,” katanya.

PEJUANG berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan di Pulau Pinang manakala jumlah kes bunuh diri di seluruh Malaysia meningkat lebih 20 peratus dan punca utama adalah kerana hutang.

Katanya, pihaknya turut menerima banyak laporan berkenaan kesukaran usahawan dan peniaga untuk memohon moratorium daripada bank.

“Maklumat dan dokumen yang diminta oleh bank menyukarkan keadaan. Pemohon sudah dalam keadaan ‘parah’ dan dihimpit lagi dengan berbagai permintaan oleh bank.

“Sepatutnya rakyat yang sedang dalam keadaan susah tidak patut dibebankan lagi dengan proses untuk memohon moratorium pinjaman kerana ia boleh ditawarkan oleh institusi bank tanpa bajet tambahan dari kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua bank merekodkan pertumbuhan keuntungan ketika pandemik dan ini membuktikan prestasi bank tidak terjejas berbanding situasi kebanyakan individu dan perniagaan yang sudah hampir muflis.

Kenyataan itu berkata, selain daripada bantuan moratorium pinjaman, PEJUANG juga menggesa kerajaan untuk menyalurkan bantuan moratorium sewa seperti yang diluluskan di United Kingdom sehingga Mac 2022.

Katanya, moratorium sewa itu memberi pengurangan bayaran utiliti dan pilihan untuk rakyat mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Oleh kerana kerajaan juga sudah membelanjakan wang simpanan negara Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) di atas rasional keperluan, dalam keadaan terdesak ketika ini rakyat juga patut diberi pilihan.

“Perbelanjaan tertinggi untuk setiap isi rumah ialah perbelanjaan untuk membayar pinjaman (kereta, kad kredit atau rumah) dan pembayaran sewa. Malah kedua-dua perbelanjaan ini menelan lebih setengah dari pendapatan isi rumah,” katanya.

Katanya, tidak dapat dibayangkan beban perbelanjaan isi rumah tanpa pekerjaan tetap atau apabila perniagaan tidak dapat beroperasi.

“Moratorium menyeluruh untuk semua pinjaman dan moratorium sewa ini dapat membantu rakyat bernafas lega dalam melalui krisis terbesar dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here