Kerajaan dakwa ekonomi makin baik, tapi rakyat terus derita – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap telus dan jujur dalam menerangkan keadaan sebenar ekonomi negara kepada rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, ini kerana orang ramai kini sedang merasai impak buruk ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kerajaan PN menguar-uarkan ekonomi semakin baik, tetapi mereka yang terlibat dalam kitaran ekonomi seperti peniaga kecil, peniaga besar, kapten industri sehingga kepada penganalisis ekonomi mengatakan sebaliknya.

“Jadi siapa yang betul? Mana satu yang betul? Kerajaan PN yang betul atau mereka ini yang betul? Rakyat di bawah kena tahu betul-betul,” soalnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, total lockdown suam-suam kuku bermula 1 Jun lalu itu dilapor sedang menjejaskan perniagaan dan ekonomi secara drastik.

“Sehingga mereka merayu supaya kerajaan PN lebih bijaksana dalam meneliti data Covid-19 berdasarkan sektor ekonomi dan lokaliti,” katanya.

Malah, menurutnya, dilaporkan 30 peratus pasar raya telah ditutup dan 300,000 kakitangannya hilang pekerjaan sejak 16 bulan yang lalu.

“Apapun ini keluhan mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi negara, dalam bidang perniagaan.

“Maka ‘pleaselah’ kerajaan PN. Sila bersikap telus dan jujur. Ramai sedang merasai impak buruk ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengarahkan bank memberikan moratorium automatik secara pukal dengan segera.

“Ini kerana setiap kelompok anggota masyarakat perlukan bantuan itu.

“Jika bukan kepada kerajaan mereka berharap, kepada siapa lagi mereka boleh merayu agar permintaan dipenuhi?,” soalnya.

Beliau berkata, segala keputusan dan kuasa ditangan kerajaan PN termasuk jentera pentadbiran dan kewangan negara dalam melaksanakan moratorium tersebut.

“Jika masih dibawah kerajaan BN InsyaAllah perkara ini jauh lebih mudah untuk diuruskan,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here