AHLI Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya ia dikemukakan ketika Parlimen bersidang semula.
Menerusi kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Umno dan BN juga bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.
“Justeru, kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.
“Bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya suhu politik dapat diredakan, maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan itu menyebut, mereka juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Kerajaan sebagai suatu usaha memperkasa langkah kawalan penularan wabak Covid-19 dalam negara.
“Menteri serta Timbalan Menteri daripada parti Umno/BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing.
“Terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.
Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan Ahli Parlimen daripada Umno dan BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara.
“Ahli Parlimen daripada Umno dan BN menjunjung kasih titah Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan pada 16 Jun lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah kawalan penularan wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

