BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ‘keliru’ apabila membuat kenyataan bagi pihak Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Dalam ciapan ringkas di Twitternya, Mohd Zaid berkata, hakikatnya Ahli Parlimen BN boleh secara individu mengundi Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri.
“Nazri keliru. Ahli Parlimen BN boleh secara individu mengundi untuk Hisham sebagai PM.
“Tetapi untuk bercakap bagi pihak BN perlu dilakukan oleh kepimpinan Umno, MCA dan MIC (kalau MCA, MIC masih sebahagain daripada PN),” ciapnya.
Terdahulu, media melaporkan, Mohamed Nazri mendakwa majoriti daripada 42 Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamed Nazri mendakwa, akuan bersumpah (SD) itu ditandatangani sebagai ‘akuan mandat 25 ahli-ahli parlimen BN’ kepada Hishammuddin sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, bercakap kepada Malaysiapost, Mohamed Nazri menafikan beliau mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah Ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan kepada Hishammuddin.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah surat pengakuan pemberian mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Bukan SD tetapi pengakuan bahawa kita memberi mandat kepada Datuk Seri Hishammuddin sebagai jurucakap dan mengambil keputusan yang terbaik untuk parti,” katanya.
Namun begitu, Mohamed Nazri menjelaskan tidak boleh mengumumkan nama Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani surat pengakuan tersebut. – Malaysiapost

