AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata pihak yang sering membuat tuduhan kepada PAS hakikatnya sedang ‘menjaja’ kekuatan parti itu.
Nik Mohamad Abduh berkata, setiap tuduhan untuk menjatuhkan PAS bukan sahaja menyebabkan parti itu menjadi lebih kuat tetapi tidak mungkin ‘hilang’.
“Mereka melihat kekuatan PAS pada pegangannya terhadap agama. Lalu mereka tuduh PAS penunggang agama.
“Mereka melihat kekuatan PAS pada kesetiaan dan wala’ ahli mereka kepada kepimpinan yang dipilih. Lalu mereka tuduh ahli PAS sebagai walaun,” katanya dalam hantaran Facebook.
Beliau berkata, apabila pihak berkenaam melihat kekuatan PAS pada himpunan dan kesatuan para ulamaknya, mereka menuduh PAS menepikan golongan profesional.
“Mereka lihat kekuatan PAS pada akar umbi orang Melayu di kampung dan desa. Lalu mereka tuduh PAS parti kampungan dan lebai,” katanya.
Beliau berkata, hakikatnya agama Islam semakin mara dalam politik tanah air dan ahli parti itu juga semakin ramai.
“Para ulamak dan umarak pula semakin saling bekerja sama. PAS kini di Putrajaya, bukan di kampung Penjaja.
“Mereka menuduh PAS. Hakikatnya mereka sedang menjaja kekuatan PAS untuk dilihat. Bagaimana PAS akan hilang?,” katanya. – Malaysiapost

