Nurul Huda Abhar
AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan beliau mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memberi sokongan terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah surat pengakuan pemberian mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Bukan SD tetapi pengakuan bahawa kita memberi mandat kepada Datuk Seri Hishammuddin sebagai jurucakap dan mengambil keputusan yang terbaik untuk parti.
“25 Ahli Parlimen BN sudah tanda tangan surat pengakuan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Namun begitu, Mohamed Nazri menjelaskan tidak boleh mengumumkan nama Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani surat pengakuan tersebut.
“Kita tidak boleh nyatakan. Kita sudah tanda tangan dan beri pada pejabat Datuk Seri Hishammuddin untuk simpanan dia,” ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Mohamed Nazri merupakan ‘mastermind’ dalam mengumpulkan SD Ahli Parlimen BN.
Mohamed Nazri dilaporkan mengakui, gerakan mengumpul SD itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri tetapi menjadi jurucakap kepada 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) jika dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu memberitahu tujuan pengumpulan surat pengakuan tersebut selepas dikhabarkan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti.
Pada masa sama, Mohamed Nazri mengakui sudah hilang kepercayaan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kerana pada bulan Oktober lalu beliau (Ahmad Zahid) telah menghantar surat kepada Agong yang menyatakan bahawa semua Ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Itu tidak betul. Beliau tidak pernah berunding dengan kita pun. Sebahagian besar Ahli Parlimen BN tidak bersetuju dengan apa yang Presiden buat,” ujarnya lagi.
Tambah Mohamed Nazri, berhubung kenyataannya hilang kepercayaan terhadap ketelusan Presiden Umno adalah apabila tular klip audio perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar sebaik sahaja Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Beliau berkata, daripada perbualan telefon antara dua figura itu boleh disimpulkan bahawa Ahmad Zahid menyokong Anwar termasuk menyatakan bahawa Anwar adalah ‘cikgu’.
“Ini yang membuatkan saya fikir untuk membuat surat pengakuan kerana saya bimbang beliau tidak akan bercerita perkara yang betul kepada Agong.
“Saya faham semua Ahli Parlimen mahu berjumpa dengan Agong tetapi tidak boleh berlaku. Jadi serahkan pada orang yang kita ada kepercayaan boleh menghadap tuanku dan nyatakan pendirian 25 Ahli Parlimen setakat ini,” ujarnya. – Malaysiapost

