YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat Paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin atas pencapaian cemerlang memecah rekod dunia kategori 72 Kilogram Kejohanan Piala Dunia Angkat Berat Para di Dubai, kelmarin.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan atlet kelahiran Sarawak itu yang melakar sejarah baharu buat sukan angkat berat negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Bonnie, 22, memecah rekod dunia dengan angkatan seberat 230kg menewaskan atlet China, Peng Yu (214kg) dan atlet dari Nigeria, Nnamdi Innocent (213kg).
“Kejayaan Bonnie memecah rekod dunia milik atlet Iran, Roohallah Rostami, amat bermakna kepada Malaysia dan sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan akan datang.
“Pencapaian cemerlang atlet kelahiran Kuching ini sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” titah baginda menerusi perkongsian di Facebook Istana Negara hari ini.
Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie menjadi sumber inspirasi kepada rakyat, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah serta mengharumkan nama Malaysia di kejohanan mendatang. – Malaysiapost

