KERAJAAN tidak perlu bimbang kerana ‘undi tidak percaya’ tidak boleh berlaku dalam Dewan Rakyat apabila Parlimen bersidang nanti.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), Dewan Rakyat boleh dipanggil untuk bersidang bagi satu mesyuarat khas yang memfokuskan agenda khusus iaitu ‘bagi faedah orang ramai’.
Justeru, katanya, tidak mungkin usul persendirian untuk menyatakan ‘Tidak Percaya’ kepada PM dan kerajaan akan diadakan dalam mesyuarat khas berkenaan.
“Sebenarnya tidak boleh berlaku ‘Undi Tidak Percaya’ dalam Dewan Rakyat. Usul itu hanya usul persendirian dan akan ditenggelamkan oleh usul-usul kerajaan.
“Dewan Rakyat boleh dipanggil untuk suatu mesyuarat khas dibawah Peraturan Mesyuarat 11(3).
“Mesyuarat khas ini boleh dipanggil untuk beberapa hari tertentu bagi membahas dan membincang secara khusus perkara mengenai wabak Covid-19, iaitu kesan wabak kepada rakyat dan ekonomi negara serta Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana ada pihak yang menegurnya kerana terlalu ‘menekan’ untuk mendesak Parlimen bersidang secepat mungkin.
“Saya ditanya oleh kawan-kawan mengenai ‘Undi Tidak Percaya’ semenjak awal tahun lagi. (Mereka bertanya)bukankah nanti ada pihak pembangkang yang buat undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Dalam mesyuarat khas seperti ini, agendanya juga khas, iaitu ‘bagi faedah orang ramai’. Tidak mungkin boleh diadakan pula usul persendirian untuk menyatakan ‘Tidak Percaya’ kepada PM dan kerajaan.
“Betul, pembangkang boleh huru-harakan mesyuarat tapi itu ianya semua terserah kepada sifat kepimpinan seorang Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri.
“Hanya, Dewan Rakyat bersidang segera ni, walaupun dibolehkan oleh Peraturan Mesyuaratnya, bukan dalam dalam ‘Scheme of Things’ TSMY,” katanya.
Sebelum ini, Umno berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula Isnin lalu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.
“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

