KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merampas produk Ivermectin tidak berdaftar yang dianggarkan bernilai Rm4,000 dalam serbuan terhadap dua premis antara 14 hingga 17 Jun lalu.
Serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) bersama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya susulan aduan mengenai penjualan produk tersebut yang tular di media sosial.
Pengarah Kanan Bahagian Farmasi KKM, Norhaliza A Halim berkata produk Ivermectin adalah ubat anti parasit yang diluluskan oleh US Food & Drug Administration (FDA).
Katanya, kebiasaannya ia digunakan untuk haiwan bagi merawat beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.
“Sehingga kini, lebih 30 jenis produk Ivermectin telah didaftarkan di Malaysia dan kesemuanya untuk kegunaan haiwan.
“Belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk merawat dan mencegah Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk memastikan keselamatan dan pemantauan keberkesanan produk.
Beliau berkata, penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Katanya lagi, pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membuat pembelian. – Malaysiapost

