Kematian Covid-19 meningkat, mayat terpaksa ‘dikahwinkan’

0
1

Najamuddin Mohd Nor

JABATAN Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) terpaksa ‘mengahwinkan’ mayat bagi menangani ‘kesesakan’ bilik mayat jika berlaku peningkatan mendadak kes kematian akibat Covid-19.

Penolong Pegawai Perubatan Forensik HKL, Hisham Mohd Nordin, berkata tindakan itu terpaksa dilakukan dengan meletakkan dua mayat bukan pesakit Covid-19 dalam satu peti sejuk buat sementara waktu jika berlaku ‘kesesakan’ yang tidak dijangka di bilik mayat.

“Jadi ada sekali tu 55 mayat Covid-19, nak tak nak kami terpaksa kahwinkan mayat. Bayangkan sampai macam tu sekali.

“Yang mana dua mayat negatif Covid-19 yang saiznya kecil kita masukkan mayat dalam satu peti sejuk. Kita ‘kahwinkan’ sementara.

“Pengalaman ini berlaku dalam bulan Mei lalu. Kita terima lebih 20 lebih mayat dalam satu malam yang positif dan negatif. Jadi nak menampung keadaan yang tiba-tiba sesak kami terpaksa kahwinkan yang negatif,” katanya kepada Malaysiapost.

Menurut Hisham, bilik mayat di HKL hanya boleh menampung 36 mayat dalam sesuatu masa yang 18 daripadanya disediakan untuk kematian positif Covid-19.

“Sebab kita pun tak menjangka mayat ni bila tiba, kadang kadang dalam satu malam sahaja kita terima jumlah mayat yang banyak.

“Memang kita ada plan kontingensi lain seperti kontena untuk simpan mayat, tapi itu pun ada satu masa tak dapat menampung,” katanya.

Hisham menambah, memang meletihkan bila hanya empat kakitangan bertugas dalam satu shif menguruskan jumlah mayat yang banyak dalam satu masa.

“Nak kata lemah semangat tu tak ada lah, tapi kami letih, memang letih, boleh ‘burn out’. Mujur semangat kami tinggi. Lagipun ini juga sebagai fardu kifayah.

“Sebelum ini kalau bukan musim Covid-19, kami hanya menguruskan dalam 40 ke 50 mayat seminggu, tapi musim Covid-19 dan sejak akhir-akhir ini kami uruskan lebih 150 mayat seminggu dan hampir 70 daripadanya Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here