‘Mungkin mereka dah tak minat lagi dengan perjuangan Umno’

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak berkata pemimpin Umno yang masih membisu atau bersekongkol dengan mereka yang derhaka titah Raja-Raja dan sistem berparlimen mungkin sudah tidak minat lagi dengan perjuangan parti itu.

Sehubungan itu, bekas Presiden Umno itu berkata golongan tersebut tidak patut diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain perlu ditolak jika bertanding dalam pemilihan parti.

“Yang masih membisu atau sudah bersekongkol dengan mereka yang derhaka pada titah Raja-Raja dan sistem berparlimen demi kepentingan jawatan sendiri mungkin sudah tak minat lagi dengan perjuangan UMNO.

“Maka mereka tidak patut dicalon lagi pada PRU akan datang. Sebab jika dicalon pun, akan ditolak rakyat yang sedang menderita.

“Sekiranya mereka bertanding dalam pemilihan parti, semua ahli Umno wajib tolak. Sebab mereka tidak lagi berpaksikan tunjang perjuangan Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Najib berkata, Umno ditubuh pada 1946 untuk melawan Malayan Union dan mempertahankan Raja-Raja Melayu serta kebebasan bangsa Melayu dan tanah air.

Malah katanya, antara dua daripada enam tunjang dan tujuan utama Umno seperti termaktub dalam Fasal 3 perlembagaan parti ialah:

Fasal 3.2: Mendukung dan mempertahankan Raja Perlembagaan.
Fasal 3.4: Mempertahankan sistem demokrasi berparlimen.

“Inilah asas dan tujuan Umno wujud. Maka wajib bagi semua pemimpin dan ahli Umno untuk bersuara pada saat titah Raja-Raja untuk menjaga kepentingan Rakyat yang sedang amat sengsara secara berpanjangan, diperlekehkan pihak tertentu dan sistem demokrasi berparlimen telah diancam.

“Sekiranya keadaan negara tidak kritikal dan perlu langkah pemulihan segera, Agong dan Raja-Raja Melayu tidak akan menerima menghadap berpuluh pemimpin parti serta ketua agensi kerajaan dan mengadakan persidangan Majlis Raja-Raja khas untuk mengeluarkan dua kenyataan titah yang amat tegas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here