Najamuddin Mohd Nor
ANDAIKATA itulah kita, kita tak dapat lihat buat kali terakhir macam mana perasaan?, demikian kata Mohamad Amir Izzat Abdul Rahman.
Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu pengalaman menguruskan jenazah pesakit Covid-19 banyak memberikan pengalaman yang berharga baginya.
Sejak lebih setahun lalu, pelbagai kisah sedih dilaluinya melibatkan jenazah pesakit Covid-19.
Berkongsi pengalamannya dengan Malaysiapost, Amir Izzat berkata, mungkin ramai masih menganggap Covid-19 kisah dongeng pada mulanya sebelum percaya apabila diri dan ahli keluarga mengalaminya.
“Bila kematian menjemput, ahli keluarga atau waris tidak boleh menguruskan macam biasa. Tiada kucupan dan pelukan terakhir untuk insan tersayang.
“Hanya boleh lihat melalui gambar atau panggilan video sahaja, macam mana perasaan?
“Prosedur hanya seorang sahaja wakil keluarga boleh buat pengecaman jenazah di bilik mayat sebelum dikebumikan. Itulah peluang terakhir melihat insan yang kita sayang, tak dapat sentuh malah tak dapat iringi ke pusara,” katanya.
Lebih meruntunkan perasaan, Amir Izzat berkata, kebiasaanya apabila seorang ahli keluarga dijangkiti Covid-19, seluruh ahli keluarga pun turut positif.
“Yang memilukan ada ahli keluarga sendiri pun tak dapat lihat pemergian insan tersayang sebab mereka masa itu dirawat di hospital, mereka pun sedang sakit, isteri tak dapat lihat arwah suami, anak tak dapat lihat wajah arwah bapa kali terakhir,” ujarnya.
“Covid-19 ini bukan kisah dongeng, ia benar, selagi tak kena pada kita dan keluarga memang kita tak rasa.
“Tapi bila dah kena, masa ambulans datang ambil di rumah mungkin itu pertemuan terakhir kita dengan orang yang kita sayang,” katanya.
Bagi Penolong Pegawai Jabatan Forensik HKL, Hisham Mohd Nordin, pengalaman menguruskan jenazah pesakit Covid-19 memang menginsafkan dirinya.
Katanya, jenazah Covid-19 tidak dapat disempurnakan seperti kelaziman jenazah kematian biasa.
“Tiada mandi jenazah, hanya tayyamum sahaja itu pun berlapik dengan plastik hitam, tak sentuh pada kulit mayat.
“Mati itu pasti, tapi ini pengakhiran yang tidak diundang, pastinya kita tidak mahu macam ni.
“Tak boleh pegang, tak boleh peluk tak boleh cium jenazah buat kali terakhir. Bayangkan jika itu kita atau ahli keluarga kita. Memang menginsafkan. Jadi patuhilah segala arahan yang dapat menghindarkan kita dari jangkitan Covid-19 ini,” katanya. – Malaysiapost

