Kes sambutan Hari Bapa timbalan menteri disiasat

0
2

SIASATAN berhubung gambar tular sambutan Hari Bapa membabitkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), kini dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman, berkata pihaknya mengesan satu penularan gambar sambutan Hari Bapa membabitkan timbalan menteri berkenaan yang juga Ahli Parlimen Maran.

Menurutnya, sambutan itu dikatakan dibuat di kediaman Ismail di Sungai Ling, Maran pada 19 Jun lalu.

“Gambar yang ditularkan berlaku pada 19 Jun 2021 di mana gambar tersebut telah diambil oleh Jurufoto Kementerian beliau (Ismail) sendiri dan telah menghantar melalui group WhatsApp hanya untuk simpanan mereka.

“Kehadiran dalam perjumpaan tersebut terdiri daripada kalangan kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pejabat Parlimen Maran.

“Ia bertujuan bagi penyediaan bungkusan barangan sumbangan bantuan mangsa Covid-19 di dalam Parlimen Maran serta perbincangan mengenai perancangan menggalakkan pendaftaran vaksin bagi kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan Parlimen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang kakitangan PKD Maran turut hadir untuk memberi taklimat jumlah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) daerah Maran dan SOP berkaitan program dilaksanakan.

“Kertas siasatan telah pun dijalankan oleh pihak PKD Maran sebagaimana arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang sebaik sahaja tular gambar tersebut di media sosial.

“Siasatan lanjut diteruskan oleh pihak PKD Maran,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh PKP 3.0 dan sentiasa mematuhi SOP MKN sepanjang masa agar dapat memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19.

Terdahulu tular gambar dengan kapsyen ‘Majlis Sambutan Hari Bapa di kediaman YBTM KPKT’ menunjukkan 10 individu di ruang tamu sebuah rumah dengan makanan dihidang di atas meja.

Kesemua di dalam gambar terbabit bagaimanapun memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika bergambar, namun majlis berkenaan dipertikai kerana sepanjang PKP 3.0, semua acara sosial adalah tidak dibenarkan termasuk perayaan dan jamuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here