Pemuda Umno mulakan kempen #tuntutanrakyat di media sosial

0
2

PEMUDA Umno memulakan kempen di media sosial yang menggunakan tanda pagar #tuntutanrakyat dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif itu dimulakan Pemuda Umno Terengganu di laman Facebooknya hari ini dan mendapat sokongan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kempen berkenaan membabitkan orang ramai menyuarakan tuntutan mereka melalui media sosial dengan merakamkan gambar bersama plakat yang tertulis jenis bantuan yang diperlukan daripada kerajaan.

Orang ramai diminta menggunakan perkataan #tuntutanrakyat di setiap plakat ditulis dan diikuti perkara yang dituntut seperti moratorium bank, i-Sinar, i-Lestari, diskaun bil utiliti, wang tunai dan lain-lain secara ringkas.

Asyraf Wajdi mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda Umno Terengganu yang memulakan inisiatif itu.

Terdahulu beliau dalam satu hantaran di Facebook menegaskan Pemuda Umno akan terus mendesak kerajaan untuk memberi bantuan yang diperlukan rakyat.

“Memang style Menteri Kewangan ni (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) kena kita desak secara berterusan, barulah dia bagi sikit-sikit,” katanya.

Menurutnya, desakan bukan sahaja meminta Kerajaan pertimbangkan moratorium automatik kepada para peniaga yang terjejas akibat tidak berniaga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi juga dua perkara utama lain.

“Moratorium automatik secara pukal untuk semua kategori termasuk B40, M40 dan Pengusaha Kecil dan Sederhana; dan moratorium tanpa caj ataupun faedah tambahan yang sifatnya ‘compounded’ serta amat membebankan rakyat.

“Tolonglah rakyat yang sedang menderita, tertekan dan amat memerlukan bantuan ini!,” tegasnya.

Sementara itu, dalam satu hantaran terbaharu, Asyraf Wajdi berpendapat sekarang adalah masanya untuk bank membalas budi rakyat.

“Jangan lupa! Waktu bank-bank hadapi krisis kewangan sehingga hampir muflis/bankrap tahun 1997, wang rakyat juga digunakan kerajaan untuk ‘bail-out’,dengan cara memindahkan NPL (aset-aset bank yang bermasalah -non-performing loans) kepada Danaharta dan Danamodal.

“Sekarang bila rakyat pula susah, bank-bank pula patut berkorbanlah sedikit untuk bantu rakyat yang susah dan terdesak dalam keadaan krisis yang amat luar biasa dan tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here