Polis buru kumpulan penghantar makanan terbabit pergaduhan

0
1

DUA penghantar makanan ditahan berhubung insiden pergaduhan membabitkan beberapa penghantar makanan dengan seorang pemandu lori di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, semalam.

Rakaman video pergaduhan itu tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penghantar makanan memukul pemandu lori berkenaan selepas berlaku kemalangan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kemalangan pada jam 5.30 petang itu membabitkan penunggang motosikal yang juga penghantar makanan dengan sebuah lori.

Menurutnya, penunggang itu mengalami patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Siasatan mendapati pergaduhan terjadi antara sekumpulan lelaki yang juga penghantar makanan dengan pemandu lori terbabit.

“Kecederaan dialami pemandu itu belum dipastikan dan lelaki terbabit difahamkan akan hadir ke balai polis hari ini untuk membuat laporan berhubung insiden terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya sudah menahan dua penghantar makanan berumur 20 tahun dan 25 tahun di sekitar Shah Alam bagi membantu siasatan kes pergaduhan itu, semalam.

“Usaha untuk mengesan suspek lain sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes kemalangan.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak mengambil tindakan melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan berlaku pelanggaran undang-undang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here