BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.com Bhd (Digi) menyebabkan kerajaan kini tidak lagi mempunyai pemilikan saham majoriti dalam mana-mana syarikat Telco.
Beliau berkata, kini Khazanah memiliki 33.1 peratus kepentingan dalam syarikat baharu Celcom-Digi itu, selepas dibayar tunai RM2 bilion.
“Akhirnya dijual juga Celcom. Sebelum ini, syarikat Khazanah milik 100% syarikat Celcom melalui Axiata.
“Kini, Khazanah milik 33.1% kepentingan dalam syarikat baru digabung Celcom-Digi setelah dibayar RM2 bilion cash.
“Syarikat negara Norway, Telenor juga milik 33.1%. Baki saham dimilik pasaran,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata, penggabungan itu sekali gus menyebabkan kerajaan tidak lagi mempunyai pemilikan saham majoriti dalam mana-mana syarikat Telco.
“Penjualan ini pertama kali timbul masa Kerajaan PH selepas PRU14 tetapi dihentikan sebab bimbang ribuan pekerjaan akan hilang serta isu keselamatan negara selepas digabung dengan syarikat asing. Akhirnya dibuat juga oleh kerajaan PN,” katanya.
Najib berkata, Februari lalu, kerajaan juga hilang pemilikan terhadap syarikat semikonduktor terbesar negara selepas 100% kepentingan dalam Silterra Berhad dijual dengan harga RM273 juta kepada syarikat gabungan 60% – 40% Malaysia-China.
“Bulan November 2020 lalu, kerajaan juga hilang pemilikan majoriti dalam syarikat kimia terbesar Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) setelah dijual dengan harga RM292 juta kepada syarikat disenarai Pulau Pinang Batu Kawan Berhad.
“Syarikat Telco. Syarikat semikonduktor. Syarikat kimia. Satu persatu aset dibina masa Barisan Nasional (BN) dijual selepas PRU14,” katanya.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd, Datuk Izzaddin Idris, berkata cadangan penggabungan Celcom dan Digi berjalan lancar.
Beliau berkata, tiada sebarang isu luar biasa timbul untuk kedua-dua syarikat bergabung menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.
Katanya, Axiata Group dan Telenor ASA berharap dapat memeterai perjanjian definitif dalam tempoh terdekat dengan selesainya proses ketekunan wajar.
Beliau berkata, sebaik saja perjanjian definitif itu dimeterai, pihaknya akan segera mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi penggabungan itu.
“Pemegang saham sangat teruja dengan cadangan penggabungan. Nama syarikat penggabungan ialah Celcom Digi Bhd,” katanya. – Malaysiapost

