SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas tertelan bateri alat kawalan jauh.
New York Post melaporkan, pihak berkuasa United Kingdom (UK) mengeluarkan kenyataan sebagai peringatan kepada ibu bapa mengenai insiden yang menimpa kanak-kanak malang bernama Harper-Lee Farn.
Harper tertelan bateri bersaiz duit syiling itu di bilik tidur di rumahnya di Staffordshire di West Midlands, England bulan lalu.
“Dia suka masukkan sesuatu ke dalam mulutnya” kata ibu mangsa, Stacey Nickin dalam satu kenyataan yang dihantar ke mahkamah bagi menentukan punca kematian kanak-kanak berkenaan.
Menurut Nickin, kejadian berlaku ketika dia di tempat kerja dan hanya tahu mengenainya selepas menerima panggilan daripada salah seorang anak perempuannya yang memaklumkan Harper muntah darah.
“Saya bergegas pulang dan mendapati ada ambulans sebaik tiba di rumah.
“Harper dibawa untuk menjalani pembedahan namun meninggal dunia ketika menjalani prosedur,” katanya.
Dr Anna Piggot iaitu pegawai perubatan yang merawat Harper-Lee mengesahkan mangsa tertelan bateri kecil. – Malaysiapost

