PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional di Bukit Jalil mula beroperasi hari ini.
Menurut perkongsian Kementerian Kesihatan (KKM) di Facebooknya, PPV mega itu berkapasiti 10,000 dos sehari.
“PPV akan menumpukan golongan bawah 40 tahun di Lembah Klang. Pusat vaksinasi didirikan di trek balapan,” kata KKM.
Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pembukaan PPV berskala besar itu akan membolehkan lebih ramai rakyat mendapat dos vaksin khususnya sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata seluruh trek balapan stadium telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi, selaras Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri.
“Ini sebahagian usaha KBS menjayakan inisiatif diterajui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta kementeriannya dan KKM dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum,” katanya. – Malaysiapost

