Presiden, MKT Umno tentukan bila tamat kerjasama dengan Bersatu

0
1
grafik

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan menentukan garis masa untuk menamatkan kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan itu diputuskan semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 untuk menentukan masa untuk ‘pull the plug’ dari segi sokongan kepada kerajaan.

“Dalam usul PAU, kita menerima ucapan utama dasar Presiden. Usul kedua menyatakan kita bersama kerajaan PN (Perikatan Nasional) sehingga pembubaran Parlimen dan tiada kerjasama dengan PPBM (Bersatu) semasa pilihan raya.

“Usul ketiga meminta diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kadar segera. Seterusnya menggunakan jenama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya. Usul seterusnya mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Ada satu keputusan yang bukan usul iaitu menyerahkan kepada Presiden dan MKT menentukan tarikh untuk istilah yang digunakan adalah ‘pull the plug’ dari segi memberi sokongan kepada kerajaan,” katanya dalam program Sudut Pandang bersama Malaysiapost.

Ahmad Zahid dalam PAU 2020 Mac lalu memaklumkan keputusan Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang adalah muktamad.

Presiden Umno itu juga menegaskan menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.

“Keputusan itu adalah muktamad dan harus diletakkan noktah. Ketetapan ini bukan hanya dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here