PICK fasa ketiga bermula esok – KJ

0
2
kj khairy jamaluddin vaksin

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa ketiga yang membabitkan golongan dewasa melebihi usia 18 tahun akan dimulakan secara rasmi di Lembah Klang, esok.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, fasa ketiga itu boleh bermula di Selangor dan Putrajaya kerana 99 peratus warga emas yang mendaftar untuk menerima vaksin di kawasan itu sudah menerima dos pertama vaksin atau janji temu suntikan.

“Sukacita saya maklumkan 99 peratus daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Kuala Lumpur sudah menerima sekurang-kurangkan dos pertama serta 88 peratus di Selangor.

“Oleh yang demikian, saya membuat keputusan fasa ketiga di Lembah Klang akan bermula esok iaitu Isnin,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara atas talian di Putrajaya.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menjelaskan, sekiranya warga emas yang belum mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebelum ini, namun baharu mendaftar ketika memasuki fasa ketiga, mereka akan didahulukan dalam senarai vaksinasi.

“Ini bermakna vaksinasi akan dilakukan secara serentak, kita tidak akan mengambil vaksin yang diperuntukan kepada warga emas, sebaliknya kita memang ada tambahan vaksin untuk fasa ketiga,” katanya.

Menurutnya, beberapa daerah seperti Putrajaya yang mana telah melengkapkan vaksinasi kepada golongan warga emas dan OKU, sudah memasuki fasa ketiga beberapa minggu lalu.

Khairy turut memaklumkan, mana-mana negeri yang sudah melengkapkan hampir 90 peratus fasa kedua boleh memasuki fasa ketiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here