KPM masih teliti aduan ‘periksa pelajar datang bulan’

0
3

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) masih meneliti isu berkenaan amalan memeriksa pelajar perempuan sama ada datang bulan atau ‘period spot check’ yang dibangkitkan baru-baru ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementerian juga menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti perkara-perkara yang berkaitan.

“Perkara ini sedang diteliti oleh pihak kementerian. Kita dalam proses akhir menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti.

“Bukan sahaja perkara ini tetapi perkara-perkara berkaitan seperti mana yang disebut tadi,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Dr Radzi berkata, tujuan jawatankuasa itu ditubuhkan untuk bersedia dan melancarkan proses urusan penelitian untuk tatacara akan datang.

“Akan ada tatacara proses yang lebih menyeluruh dalam konteks ini bagi membolehkan sekiranya timbul isu-isu berkaitan pada masa akan datang kita akan laksanakannya lebih susun dan teratur,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, tular aduan berkenaan amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu.

Perbuatan yang dilakukan para guru, warden asrama dan pengawas itu antara lain meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat jemaah kerana mengalami haid.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan akan menyiasat dan memantau sekolah didakwa melakukan pemeriksaan datang bulan terhadap pelajar perempuan.

Menurut Rina, beliau memandang serius perkara itu dan ia tidak sewajarnya berlaku, justeru siasatan akan dijalankan bagi memastikan perkara itu tidak berulang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here