Apakah yang dimaksudkan ‘secepat mungkin’

0
1
Shamrahayu

RABU lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.
Ia dinyatakan Seri Paduka Baginda selepas perbincangan khas dengan Raya-Raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan Covid-19.

Susulan itu timbul polemik mengenai bilakah tarikh sidang Parlimen perlu diadakan, mengambil kira titah ‘secepat mungkin’ oleh Yang di-Pertuan Agong.

Petikan kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang dimuatnaik di Facebook Istana Negara

Berikut adalah pandangan pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz mengenai perkara itu yang dimuat naik di laman sosial miliknya hari ini:

“Dalam konteks ini, persoalan utama ialah tentang tarikh mesyuarat pertama, walaupun mungkin juga berkaitan tarikh-tarikh mesyuarat yang lain.

Saya melihat kepada perspektif tafsiran frasa yang lebih kurang sama dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara Perkara 5(3) menggunakan frasa “seberapa segera” atau dalam Bahasa Inggeris “as soon as may be”. Frasa ini pernah ditafsirkan oleh mahkamah.

Antara lain, terdapat keputusan kes yang menyatakan tafsiran kepada frasa “as soon as may be” tersebut
sebagai:

The words ‘as soon as may be’ mean, ‘as nearly as is reasonable in the circumstances of the particular case’ … – Aminah v Superintendent of Prison Pengkalan Chepa [1968] 1 MLJ 92 “in the shortest possible time” – Ooi Ah Phua “in the shortest possible time” – Ooi [1975] 2 MLJ 198 “at the earliest possible moment” – Chong Kim Loy [1989] 3 MLJ 121

Walaupun terdapat tafsiran-tafsiran sebegini, tidak perlulah kita melihat frasa “secepat mungkin” ini dalam bentuk terlalu legalistic.

Semua keputusan kes yang dipetik di atas adalah melibatkan hak orang yang ditangkap untuk diberitahu sebab atau alasan mereka ditangkap.

Ia tidak melibatkan hal-hal berkaitan persidangan Parlimen.

Titah diraja Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya dibahaskan sedemikian rupa.

Titah diraja tidaklah terikat dengan pemahaman perundangan semata-mata terutamanya apabila ia berkaitan dengan peringatan atau mesej untuk bacaan umum.

Dalam konteks keadaan semasa, frasa “secepat mungkin” boleh difahamkan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk memberi penekanan terhadap keperluan semasa untuk menangani kesan pandemik terhadap masyarakat umum tatkala negara dan rakyat dalam keadaan suntuk untuk kembali pulih ke kehidupan pra-pandemik.

Sebagai rumusan, terdapat dua senario yang saya boleh utarakan:

  1. Apabila Parlimen tidak bersidang, rakyat mengharapkan kerajaan tetap menegakkan kedaulatan undang-undang dan apa yang penting ialah tujuan proklamasi darurat itu dicapai, iaitu pandemik ini perlu dilandaikan grafnya dan pada masa sama, kebajikan rakyat adalah terjamin.
  2. Apabila Apabila Parlimen bersidang, rakyat juga mengharapkan supaya wakil-wakil mereka dapat menyuarakan hasrat rakyat dan pada masa sama, rakyat mengharapkan pemulihan negara daripada pandemik, pemulihan ekonomi, pemulihan suasana politik dan pemulihan keadaan sosial negara menjadi lebih mantap dan berkesan.

TItah Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan: –

“bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara”.

Pandangan yang telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong ini perlulah dijadikan rujukan oleh semua pihak, termasuk kerajaan, semua wakil rakyat dari pelbagai dimensi kefahaman politik dan juga rakyat sekaliannya.

Seterusnya, adalah nyata bahawa Institusi Diraja dan Badan Perundangan mempunyai peranan dalam bidangkuasa masing-masing dalam usaha menangani kemelaratan pandemik.

Yang di-Pertuan Agong berperanan menetapkan tarikh mesyuarat pertama Parlimen, kerajaan berperanan mengambil langkah-langkah seperlunya untuk melindungi kepentingan menyeluruh masyarakat manakala pihak pembangkang turut berperanan untuk melaksanakan proses semak dan imbang terhadap langkah-langkah
yang telah diambil serta memberikan maklum balas dan kerjasama yang sewajarnya.

Peranan-peranan ini perlu dilaksanakan menerusi keserasian dan keharmonian antara semua pihak bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.

Perlu diingatkan bahawa rakyat adalah pemerhati yang berwibawa dan kini memeriksa dengan lebih teliti setiap tindak tanduk dan tingkah laku para pemain politik”. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here