Keluar segera dari kerajaan jika gagal buka Parlimen

0
3
Tengku Haphiz Tengku Puter

PEMUDA Umno Terengganu mencadangkan agar parti itu segera keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Tindakan itu perlu supaya Umno tidak terpalit dengan politik derhaka raja seandainya pendirian kerajaan PN terus acuh tidak acuh merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong dan tuntutan rakyat agar Parlimen kembali bersidang secepat mungkin.

“Pemuda Umno Terengganu bersetuju dengan ketetapan Pemuda Umno Malaysia untuk Umno membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan masih gagal untuk membuka Parlimen segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang mendukung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaaan, seharusnya ia memahami titah dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Jelasnya, kerajaan harus mengambil pendekatan serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong sebagai panduan menyelesaikan kemelut rakyat kini, bukannya membuat tafsiran di luar konteks asal.

Rabu lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ia bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Tengku Haphiz berkata Pemuda Umno Terengganu kecewa dengan sikap kerajaan Persekutuan melayani sambil lewa permintaan negeri itu dalam peruntukkan tambahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, menerusi rekod kenaikan harga minyak mentah dunia, purata enam bulan adalah bersandar kepada harga AS$53 satu tong tahun ini.

“Maka seharusnya Terengganu memperoleh sedikit tambahan pendapatan sekurang-kurangnya RM600++ juta hasil royalti Petronas untuk Terengganu.

“Oleh yang demikian, sangat penting bagi kami agar Parlimen bersidang segera untuk Ahli Parlimen Terengganu menyampaikan hasrat rakyat yang sangat memerlukan bantuan tunai terutama kelompok B40,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga menyuarakan kerisauan terhadap program vaksinasi di Terengganu yang agak perlahan sedangkan pendaftaran telah mencecah 440,000 orang iaitu melebihi separuh penduduk yang diberi keutamaan untuk divaksinkan.

Beliau berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka pula terhad kepada 14 PPV sahaja seluruh Terengganu, menyebabkan pencapaian vaksinasi kepada rakyat kurang berkesan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Terengganu Fokus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here