Kilang Carlsberg tak beroperasi

0
2

POLIS mengesahkan kilang Carlsberg Brewery Malaysia Berhad di Seksyen 15, Shah Alam tidak menjalankan apa-apa aktiviti berkaitan pengilangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Susulan video tular mendakwa kilang tersebut beroperasi ketika PKP, Pasukan Petugas Pematuhan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam malam tadi telah menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pemantuan mendapati tiada sebarang operasi pengilangan arak yang dijalankan.

Malah, katanya, Team Task Force telah berjumpa Pengurus Kanan Carlsberg Brewery yang menyatakan dengan jelas kilang itu tidak beroperasi sejak 1 Jun lalu.

“Pengurus turut menyatakan kepulan asap yang dilihat keluar dari salah satu cerobong kilang adalah wap dari proses memanaskan sejenis bahan mentah menyerupai gandum atau ragi.

“Bahan itu perlu dipanaskan bagi memastikan ia tidak rosak sepanjang penutupan operasi kilang, manakala asap atau wap perlu dikeluarkan untuk mengelak letupan.

“Proses itu dipanggil meletakkan peralatan pengilangan dalam keadaan siap siaga berdasarkan surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” kataya menerusi kenyataan.

Beliau berkata peemeriksaan secara menyeluruh turut mendapati kilang tersebut mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan baik tanpa sebarang bentuk operasi pengilangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Baharudin berkata pihaknya akan memanggil individu yang bertanggungjawab menyebarkan video berdurasi 47 saat tular di laman sosial sejak semalam.

Video tersebut memaparkan sebuah cerobong mengeluarkan kepulan asap putih dan individu yang merakamnya mendakwa kilang itu beroperasi seperti biasa ketika pelaksanaan PKP 3.0 dengan kehadiran pekerja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here