SELEBRITI dan usahawan sensasi, Neelofa mengakui sebak melihat ketabahan penyanyi Elyana yang kini menjalani rawatan radioterapi di sebuah pusat perubatan.
Neelofa atau mesra disapa Lofa menerusi hantaran di Insta Story miliknya, memberitahu berasa sayu melihat senyuman terpancar di wajah Elyana selepas menerima hadiah koleksi tudung pemberiannya.
“MasyaAllah, saya plak (pula) nak nangis tengok video ni. Saya kagum sebab Elyana boleh senyum dan ceria dalam kesakitan.
“Moga Allah kurniakan kesembuhan untuk awak,” tulis Neelofa.
Sementara itu, pelantun lagu Kalis Rindu itu menerusi video dimuat naik di Instagramnya menzahirkan rasa terharu kerana dihadiahkan beberapa koleksi tudung keluaran Neelofa iaitu Naelofar.
Menurut Elyana, dia tidak menyangka menerima hadiah istimewa itu memandangkan hanya membawa satu tudung saja ke hospital bagi menjalani rawatan.
“Saya sangat gembira hari ini. Nak dijadikan cerita saya bawa satu tudung saja ke hospital, tiba-tiba Neelofa bagi saya pelbagai koleksi tudung.
“Memang rezeki dan sangat bermakna. Terima kasih Neelofa,” kata Elyana dalam video itu.
Lebih sayu, wajah Elyana kini tampak pucat dan badan semakin susut dengan beratnya kini hanya 35 kilogram.
Elyana yang meghidap kanser limfoma sejak 10 tahun lalu terus tabah dan positif meskipun penyakit tersebut sudah merebak ke rahim, hati dan juga pangkal paha kini. – Malaysiapost

