Tak ada undi tak percaya, PM tak perlu risau – Tajuddin

0
1
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut dengan kemungkinan undi tidak percaya sekiranya Parlimen kembali bersidang, kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, sebelum ini Umno dan parti pembangkang lain telah memberi jaminan untuk tidak mengemukakan usul undi tersebut terhadap kerajaan, lapor Sinar Harian.

“Umno sebahagian kerajaan dan sebelum ini pun kita buat kenyataan bahawa parti tidak berminat mengadakan undi tidak percaya. Begitu juga dengan kenyataan pemimpin pembangkang seperti PKR, DAP dan Amanah.

“Jadi tiada apa lagi yang perlu ditakuti. Sidang Parlimen boleh diadakan segera kerana Perdana Menteri telah diberikan jaminan tidak akan ada undi tidak percaya dibawa kepada kerajaan,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa kedua kepada 1,334 penerima termasuk petugas barisan hadapan di kawasan Parlimen Pasir Salak hari ini.

Sementara itu, Tajuddin menzahirkan junjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Katanya, pembukaan Dewan Rakyat membolehkan Ahli Parlimen berkongsi pandangan dan cadangan yang dapat dimanfaatkan untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat.

“Sekarang ini apa juga tindakan diambil sama ada berkaitan saringan dan vaksin semuanya idea kerajaan. Wakil rakyat yang ada ini tengok sahaja, paling kurang boleh hantar barang makanan.

“Jika dapat dibuka (persidangan Parlimen) sepertimana dititahkan baginda, saya rasa kita boleh sama-sama ambil tindakan lebih berkesan dalam menghadapi Covid-19 dan kelangsungan hidup rakyat yang perit disebabkan wabak ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here