HOSPITAL Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) mula menerima pesakit Covid-19 semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengambilmilikan sementara hospital tersebut dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat 2021.
“Hospital ini menerima rujukan hanya dari Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu Wilayah Tengah yang berperanan mengkordinasi pergerakan dan penempatan pesakit wabak tersebut di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Setakat pagi ini, terdapat 14 pesakit dengan gejala serius sudah dimasukkan ke hospital ini termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Hospital Pakar Kanak-kanak UKM merupakan hospital yang baru siap dibina dan semalam kali pertama hospital ini menerima pesakit,” katanya menerusi ciapan di Twitter, pagi tadi.
KKM dalam kenyataan sebelum ini dilaporkan bakal mengambil-alih dua hospital yang belum digunakan lagi menerusi Ordinan Darurat dalam usaha siap siaga merawat pesakit Covid-19.
Dr Noor Hisham berkata, dua hospital sedang dalam perhatian untuk diambil-alih adalah Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – Malaysiapost
Beliau menjelaskan, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM mempunyai 243 katil biasa belum digunakan dan 20 lagi katil di ICU. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

