Stadium Nasional sedia dibuka sebagai PPV mega

0
1

STADIUM Nasional di Bukit Jalil sudah bersedia untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Gambar khemah yang siap dipasang di sepanjang balapan sekeliling padang dalam stadium berkapasiti hampir 90,000 itu dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Twitternya.

Sebelum ini Khairy dilaporkan berkata pekarangan Stadium Nasional akan dijadikan salah satu daripada PPV Mega, namun berdasarkan gambar dikongsinya, ia dibuka di dalam stadium dan bukannya di luar.

Menerusi ciapan sama, Menteri Penyelaras PICK itu juga memuat naik gambar PPV jenis lain iaitu mikro, masjid dan Unit Bergerak.

“Ketika Malaysia meningkatkan program imunisasi Covid-19, kami menambah lebih banyak PPV dari semua jenis: unit mega, mikro, masjid (dan tempat ibadat lain) serta unit bergerak,” tulisnya.

Sebelum ini Khairy dilaporkan berkata lima PPV berskala mega akan dibuka di sekitar Lembah Klang, mulai 7 Jun iaitu tiga di Selangor, manakala dua lagi di ibu negara.

Di Selangor, PPV mega itu akan dibuka di Pusat Konvensyen The Mines, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City.

Di Kuala Lumpur pula, PPV berkenaan akan dibuka di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here