TINDAKAN 12 lelaki termasuk seorang pemilik syarikat berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat menerima padah apabila dikompaun RM28,000 kerana melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua lelaki terbabit terdiri daripada masing-masing enam warga tempatan dan asing berusia dalam lingkungan 23 hingga 60 tahun didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kedai Taman Nirwana, Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata premis berkenaan adalah pejabat syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo bagi tiga buah syarikat berlainan milik seorang warga tempatan.
“Ketika pemeriksaan kesemua mereka sedang berkumpul untuk mengadakan solat Jumaat.
“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana berkumpul, tiada penjarakan fizikal dan mengadakan aktiviti tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pemilik syarikat tersebut dikompaun RM11,500 manakala pekerja dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang.
“Warga asing telah ditahan untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melanggar SOP PKP bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19. – Malaysiapost

