Jangan tertipu kali kedua dengan PH, disengat dari lubang sama – Hadi

0
1

PAS mengingatkan rakyat supaya jangan tertipu buat kali kedua kepada Pakatan Harapan (PH), kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, cukuplah perkara besar yang berlaku di bawah pentadbiran PH sebelum ini menjadi pengajaran kepada semua.

“Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya dipetik menerusi artikel Minda Presiden PAS hari ini.

Beliau turut memberi contoh hadis Rasulullah SAW: Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” (Riwayat al-Bukhari 6133 dan Muslim 63).

Abdul Hadi berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu memberikan kemenangan kepada PH kerana ramai tertarik dengan janji diucapkan dan ditulis, termasuk janji yang mustahil dilaksanakan dalam masa singkat.

Bahkan katanya, ada juga janji yang dikatakan boleh ditunaikan dalam tempoh pendek dalam sehari semalam.

“Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu.

“Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan Perdana Menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus.

“Lebih membahayakan umat dan negara, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata Malaysia menerima kewujudan masyarakat majmuk yang menyedari kedudukan mereka sebenar, bahkan boleh bekerjasama dengan baik berkonsepkan adil terhadap semua dan diberi hak beragama tanpa sebarang paksaan.

Katanya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah konsep yang boleh menghadapi perubahan secara positif, bahkan sudah berlaku beberapa peruabahan pada hari ini.

“Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT.

“Kepada generasi muda yang tidak menyaksikan peristiwa lalu, janganlah mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat yang sudah tidak berguna lagi penyesalannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here