PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memperhalusi cadangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim untuk mengendalikan skuad kebangsaan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau menjunjung kasih kepada Tunku Ismail dan mengambil maklum tentang cadangan telah dikemukakan baginda selaku mantan Presiden FAM .
“Bagaimanapun perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 14 Jun lalu, Malaysiapost melaporkan, TMJ menawarkan dirinya untuk mengendali dan mengurus skuad bolasepak kebangsaan.
TMJ menyatakan niatnya untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya dalam saingan kancah bolasepak antarabangsa di laman Story Instagram.
Tawaran Tunku Ismail itu susulan prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan dalam empat aksi antarabangsa baru-baru ini.
Berhubung isu pemain naturalisasi, Hamidin berkata beliau telah mengarahkan sekretariat FAM untuk membincangkannya
bersama Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.
Dalam pasa itu, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu post mortem daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe berhubung persembahan skuad Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setakat ini.
“Ini sebagai persediaan menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula Februari 2022,” katanya.-Malaysiapost
Artikel berkaitan

