DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru kepada semua pimpinan parti politik untuk bersikap matang dalam memastikan kelancaran proses semak dan imbang menerusi sidang Parlimen yang bakal dibuka nanti.
Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata ia seharusnya menjadi medan percambahan idea, perbahasan yang terfokus serta usaha sama antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam saling berkongsi pandangan.
“… serta tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan demi kepentingan sebahagian pihak sahaja dengan membelakangi tujuh ketetapan dari sidang Majlis Raja-raja Melayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan sokongan penuh terhadap kenyataan PAS Pusat dikeluarkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk terus menangani dan memerangi covid-19 serta pemulihan ekonomi negara.
“Sebanyak tujuh ketetapan terhasil dari perjumpaan KDYMM Seri Paduka Baginda bersama Raja-Raja Melayu membuktikan kecaknaan dari pihak Raja-raja Pemerintah terhadap keutamaan yang perlu diberi perhatian.
“Ini bagi memastikan kesejahteraan negara dan rakyat terus berada di atas pertimbangan dan keutamaan yang wajar sebagaimana ditegaskan iaitu nyawa dan kepentingan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara lain,” katanya.
Nik Muhammad Zawawi berkata dengan tercetusnya tujuh ketetapan tersebut, jelas perkara yang perlu diberi keutamaan semua pihak tanpa wujud sebarang usaha mempolemikkan politik yang boleh mengeruhkan suasana perpaduan rakyat ialah usaha memastikan angka kes positif Covid-19 dapat dilandaikan segera.
Selain itu, kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, usaha menjayakan program vaksinisasi mesti mencapai matlamat imuniti kelompok 80% dengan secepat mungkin.
“DUPP juga melihat pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Pelan Pemulihan Negara berkenaan Sidang Parlimen adalah selari dengan titah Baginda Tuanku mengambil kira proses dan prosedur yang perlu dipatuhi mengikut lunas-lunas Perlembagaan.
“Ini seperti notis sidang Parlimen 28 hari sebelum tarikh persidangan, keterlibatan pelbagai kementerian dan agensi untuk penyediaan dokumen melibatkan keperluan pegawai hadir bekerja di pejabat, selain keperluan penyediaan data dan maklumat yang memerlukan masa secukupnya oleh pihak berkaitan,” katanya. – Malaysiapost
