BUKIT Aman akan memanggil mana-mana individu yang berkaitan susulan laporan polis terhadap Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa mengeluarkan kenyataan derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) itu.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. sekiranya diperlukan, individu-individu yang berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak pihak berkuasa akan memanggil Takiyuddin untuk dirakam keterangan.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Raya-Raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan Covid-19.
Selepas pertemuan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan, persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Majlis Raja-raja Melayu juga mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
Bagaimanapun, Takiyuddin dalam reaksinya berkata kenyataan Agong itu tidak disertakan tarikh tertentu.
“Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin. Perdana Menteri kita kata pun bulan 9 atau 10. Sekarang kita dah hampir penghujung bulan 6, bulan 7, 8, 9 pasti akan diadakan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/18/polis-akan-panggil-takiyuddin/

