Hashim samakan kes Khairuddin dengan kisah zaman Nabi Sulaiman

0
3

Aiman Hanif

GILIRAN Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mempertahankan tindakan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali melanggar perintah kuarantin Covid-19 dengan kisah burung hud-hud di zaman Nabi Sulaiman AS.

Ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Perak, beliau menyifatkan tindakan Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi itu membawa keuntungan pada negara meskipun melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita balik kepada (burung) hud hud tadi, yang melanggar kawalan pergerakan, dan SOP yang dikenakan ketika itu oleh Nabi Sulaiman.

“Natijah akhirnya, seorang Raja dan rakyatnya peluk agama islam. Apakah Nabi Allah Sulaiman melaksanakan SOP ke atas burung belatuk?

“Sebelum ini minyak kelapa sawit kita dihantar ke Turki dan melalui Turki sebanyak 700,000 tan setahun.

“Dr Khairuddin dia pergi sana empat hari berunding, dapat mengadakan perjanjian MOU, tambah lagi 300,000 tan setahun, menjadikan 1 juta tan setahun,” kata Hashim ketika berucap.

Ucapannya disiarkan secara langsung di Facebook.

Khairuddin pada Jumaat lalu hadir memberi keterangan bersama beberapa orang saksi di Bukit Aman bagi kesalahannya itu.

KKM dalam satu kenyataan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut pada 7 Ogos.

Khairuddin pulang dari Turki dan tiba di Malaysia pada 7 Julai.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan ke atas menteri tersebut.

Mengulas lanjut, Hashim berkata Khairuddin tidak perlu memakai ‘gelang pink’ kerana beliau perlu menghadiri persidangan Parlimen.

“Menteri kita ini, dia pergi ke (Turki), semua proses yang patut dengan kementerian dia buat.

“Balik sini, sepatutnya bubuhlah (pakaikan) gelang merah pada dia. Tidak, tak payah. Gelang merah tak payah.

“Lepas itu nak mesyuarat Parlimen pula, undi tak percaya. Waktu itu 111 dengan 109, bukan jauh. Pergi lah, dia tidak ada apa-apa sekatan, bukan salah dia,” kata Hashim lagi.- Malaysiapost